Wednesday, May 9, 2012

Alam Terkembang Jadikan Guru...


Penakik pisau seraut
ambil galah batang lentubung
seludang jadikan nyiru
nan setitik jadikan laut
nan sekopal jadikan gunung
alam terkombang jadikan guru

kok nak tahu tingginya gunung
tanyo pado onggang
kok nak tahu dalamnya lubok
tanyo pado memorang
kok nak tahu lebarnya pantai
tanyo pado seluang
kok nak tahu tobalnya hutan
tanyo pado pak bolang
kok nak tahu lebarnyo padang
tanyo pado belalang

(sumber: http://klasik.blogmas.com/category/puisi-klasik/)

Anda pernah dengar puisi klasik orang Minang ini?  Puisi ini sering dijadikan rujukan semasa saya belajar di Jabatan Sosiobudaya, APM, UM dahulu.  Manusia Melayu belajar daripada alam ciptaan Allah.  Setiap kejadian alam diperhatikan, diteliti dan dibuat perbandingan dengan kehidupan.  Oleh sebab itu lahirnya ungkapan "alam terkombang jadikan guru" (alam terkembang dijadikan guru). Falsafah yabg tersirat di sebalik puisi klasik ini memberikan ilham kepada kita bahawa betapa inteleknya manusia Melayu dahulu sehingga boleh melahirkan ungkapan seumpama ini.

Tulisan kali ini saya ingin fokuskan pada rangkap kedua puisi ini. Kok nak tahu tingginya gunung tanyo pado onggang (jika hendak tahu tingginya gunung, bertanyalah pada burung enggang), kok nak tahu dalamnya lubok tanyo pado memorang (jika nak tahu dalamnya lubuk bertanyalah pada memerang), kok nak tahu lebarnya pantai tanyo pado seluang (jika nak tahu lebarnya pantai bertanyalah pada ikan seluang),  kok nak tahu tobalnya hutan tanyo pado pak bolang (jika nak tahu tebalnya hutan, bertanyalah pada harimau), kok nak tahu lebarnyo padang tanyo pado belalang (jika nak tahu lebarnya padang bertanyalah pada belalang).

Berdasarkan rangkap tersebut, kita mendapat gambaran bahawa setiap makhluk ciptaan Allah mempunyai kepakaran masing-masing.  Kepakaran yang ada pada setiap makhluk saling melengkapi dan pengetahuan tersebut turut dikongsi dengan mereka yang ingin mengetahui tentang sesuatu perkara atau memerlukan perkhidmatan mereka.  Inilah yang dikatakan sebagai perkongsian ilmu bagi mewujudkan suasana yang harmoni dalam kehidupan masyarakat.

Rangkap tersebut hanyalah tamsilan kepada kehidupan manusia. Bukanlah kita perlu pergi kepada burung enggang, memerang, seluang, mahupun pak belang untuk mendapatkan maklumat tersebut, tetapi maksudnya di sini kita perlu bertanya kepada orang yang pakar dalam sesuatu pekerjaan untuk mendapatkan maklumat atau perkhidmatan daripada mereka.  Sebagai contoh, jika kita ingin membaiki atap yang bocor, perlulah mencari pakarnya, iaitu seorang tukang rumah yang telah biasa melakukan kerja tersebut.  Begitu juga jika paip yang bocor perlulah dirujuk kepada tukang paip.  Manakala jika sakit, maka doktor atau tabiblah yang dicari.  Barulah sempurna pekerjaan yang ingin dilakukan dan selesai masalah yang dihadapi.  Dalam hal ini, konsep "berkongsi rezeki" juga wujud kerana hasil daripada kerja yang mereka lakukan, sudah tentulah diberikan imbalan yang sewajarnya (sebelum titisan peluhnya kering).

Rasulullah SAW juga ada menegaskan bahawa bertanyalah pada yang 'alim (orang yang berilmu) jika kita ingin melakukan sesuatu.  Nah, betapa beruntungnya jadi orang yang mempunyai ilmu tidak kiralah  dalam apa bidang yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Pengajaran yang ingin saya paparkan di sini ialah:

 'KALAU TAK GHETI JANGAN NAK MEMANDAI-MANDAI'.

(Perkataan yang ditebalkan tidak mengikut nahu bahasa yang betul)

No comments:

Post a Comment