Sunday, March 20, 2011

Menginjak Usia 8 Tahun

19 Mac 2011...Lapan tahun yang lalu aku selamat melahirkan Syed Muhammad Waliyuddin anakandaku yang kedua. Sisi kematangannya masih belum jelas. Namun aku nampak akan perubahannya sedikit demi sedikit. Dari anak yang agak lasak, kini dia sudah boleh mendengar kata dan ada tanggungjawab yang dijalankan sebagai seorang mukmin (insya'Allah kekal sehingga dewasa) Ya lah...kematangan tahap mana yang aku harapkan daripada seorang anak yang baru berumur 8 tahun. Orang tua ada berkata; anak yang kedua ini perangainya lain sikit. Mungkin ada kaitannya dari sudut pandangan ahli psikologi, iaitu Dr. Fadzilah Kamsah yang mengenalkan teori "sindrom anak kedua". Lasak, degil, baran, dan beberapa citra negatif lagi dilambakkan kepada anak yang kedua. Tapi bagiku, anugerah Allah itu tetap anugerah Allah. Walau apapun sikapnya aku redha dan berdoa semoga Allah membantu aku membesar dan mendidiknya. Dalam lasak dan ligatnya dia, aku dapat rasakan ciri kelembutan yang ada padanya. Hatinya mudah tersentuh tatkala melihat aku kurang sihat atau aku berada dalam kesedihan. Dia cepat merasakannya apabila aku berada dalam keadaan tersebut.

Rasa kasihannya kadang kala mengejutkan aku. Pernah sekali air matanya bergenang apabila ayahnya menyuruh dia membuang seekor kumbang yang asyik dibeleknya dan dibawa ke hulu ke hilir (ketika itu kami hendak membeli barang di JJ). Diletakkannya kumbang tersebut di tepi jalan, di tempat letak kereta JJ Cheras Selatan. Tempat tersebut ada sedikit lubang dan teduh. Kesian katanya...kumbang tu pun nak hidup jugak. Sesekali kakaknya ada mengusik untuk menggoreng ikan sepat belaan kami. Katanya, "dah tak ada ikan lain ke nak di makan?" Pernah sekali, dia menegur aku tatkala aku cuba menghalau "kucing sesat" di dalam rumah kami dengan penyapu. Ummi, sakit dia nanti...padahal aku baru mengacah...

Itulah dia...kadang-kadang menyirap darah apabila melihat perlakuannya. Kadang-kadang terhibur dengan gelagatnya. Walau apapun, aku sentiasa berdoa agar Allah menjadikannya anak yang soleh dan boleh mendoakan kami kelak...amin.

No comments:

Post a Comment