Monday, March 21, 2011

Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku)







Gambar di atas ini ialah hasil tangan kakak (dan ayahnya). Gurunya menyuruh mereka membuat replika rumah daripada kotak. "Rumah impian" (saya yang memberi label tersebut) itu sebenarnya hanyalah tugasan untuk membina kreativiti anak-anak sahaja. Tidak lebih daripada itu. Namun, aku sebagai seorang dewasa memandang jauh makna tersirat daripada tugasan tersebut. Rumah menjadi lambang kepada seseorang. Sama ada kecil atau besar rumah ataupun bentuk rumah apa yang didiami menjadi lambang kepada individu sama ada berada atau tidaknya dia. Beruntungnya orang yang mempunyai tanah yang luas kerana dapat membina rumah mengikut citarasanya sendiri. Tapi jika tiada tanah dan mampu memiliki sebuah banglo juga beruntung kerana kediaman masih lagi luas. Manakala orang yang tinggal di kawasan perumahan teres pula mempunyai kawasan persekitaran yang terhad. Namun beruntung juga kerana kejiranan kawasan perumahan teres lebih akrab kerana susunan rumah yang rapat-rapat (tapi mungkin di kota sudah tiada lagi keakraban tersebut). Tinggal di kawasan perumahan teres juga masih selesa kerana ada ruang untuk meletak kereta dalam kawasan rumah serta bilangan bilik yang lebih, dan jika berlebihan wang boleh mengubahsuai rumah. Hal ini berbeza daripada mereka yang tinggal di rumah pangsa. Kita ketepikan persoalan bagi mereka yang kaya-raya dan mampu memiliki kondominium mewah.



Bagi mereka yang sudah biasa dengan situasi di rumah pangsa, keadaan itu juga amat selesa bagi mereka. Ruang yang kecil dan comel memudahkan mereka untuk mengemas dan mengatur perabot dan tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi. Bagi mereka itu sudah cukup bertuah. Bagaimanakah pula dengan keadaan mereka yang tidak mampu memiliki satu bentuk rumah sekalipun? Ataupun tiada tempat untuk tinggal langsung? Adakah mereka tidak bertuah atau tidak beruntung? Bahkan tidak bahagia langsung? Mungkin jawapan yang akan kita terima berbeza-beza. Jika mereka melihat bahawa rumahlah yang menjadikan mereka beruntung, bertuah atau bahagia maka mereka akan mengatakan ya. Namun jika mereka melihat bertuahnya mereka, beruntungnya mereka serta bahagianya mereka dari pelbagai sudut yang lain, bukan dari sudut berprestijnya tempat kediaman mereka, maka tinggal hanya dengan berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi sudah cukup bertuah dan bahagia bagi mereka kerana mereka masih mempunyai nyawa untuk meneruskan kehidupan.



Oleh sebab itu, di kawasan kota besar sekarang terutamanya di Kuala Lumpur ramai orang yang gelandangan. Siang bekerja, malam mencari-cari tempat untuk merehatkan badan. Bagi mereka bukan rumah yang penting tapi agenda untuk mencari sesuap nasi bagi meneruskan kehidupan lebih utama daripada memilih-milih tempat untuk tinggal. Sampai bilakah keadaan ini akan berterusan? Adakah masalah sosial dalam masyarakat akan lebih menanah jika keadaan ini tidak dikawal? Adakah penyelesaiannya pihak bertanggung jawab perlu menyediakan kawasan lapang yang luas untuk mereka berkumpul bagi menyelesaikan masalah? Kita perlu fikirkan...



Bagi seorang anak kecil seperti kakak yang masih belum mengenal erti kehidupan sudah tentulah rumah yang besar, luas dan cantik menjadi "rumah impian" mereka. Namun penerapan terhadap konsep baiti jannati dalam "rumah impian" lebih utama supaya mereka tahu bahawa dari rumahlah dapat mencorak peribadi mereka pada masa hadapan. Jika mereka tidak merasakan bahawa rumah itu syurga, maka mereka akan cuba mencari syurga lain untuk mendapatkan kedamaian, ketenangan dan keseronokan.



Wallahualam...semoga kakak menjadi anak yang solehah...









No comments:

Post a Comment