Tuesday, August 2, 2011

Madrasah Ramadan






Sahur, bazar Ramadan, solat terawih, menu berbuka, malam lailatul qadar adalah antara topik yang menjadi perbualan setiap kali madrasah Ramadan tiba. Saya katakan madrasah Ramadan kerana bulan ini ialah bulan yang mendidik kita untuk menjadi insan yang lebih baik daripada yang sebelumnya. Adakah memadai sekiranya topik tersebut sahaja yang menjadi perbualan setiap kali tibanya Ramadan? Sedangkan bulan Ramadan begitu istimewa kerana dalam bulan Ramadanlah umat Islam diwajibkan berpuasa, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah Taala dalam surah Al-Baqarah, ayat 183: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." Dalam ayat ini Allah mewajibkan umat Islam berpuasa supaya kita menjadi manusia yang sentiasa taat dan beriman kepada Allah SWT. Keistimewaan Ramadan juga dikaitkan dengan Nuzul al-Quran, iaitu buat pertama kalinya ayat al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Pada bulan Ramadan juga terhimpunnya rahmah, keampunan serta keberkatan yang berlipat ganda daripada Allah SWT buat hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dalam melaksanakan ibadah.



Dalam usaha kita merebut seribu rahmat dalam bulan Ramadan ini kita perlu juga prihatin kepada rakan-rakan atau saudara seagama kita yang lain yang menyambut Ramadan bersama-sama ujian getir daripada Allah SWT. Hal ini saya kaitkan dengan rakan-rakan saya di Dawama Sdn. Bhd. yang telah diberi "cuti tanpa gaji" atau dengan perkataan lain, diberhentikan oleh pihak pengurusan mereka bermula 1 Ramadan yang lalu. Apa yang menyedihkan ialah ada antara mereka ini asalnya kakitangan kerajaan yang hayat perkhidmatan mereka terjamin, namun atas sebab penswastaan sebahagian daripada organisasi, mereka perlu akur dan terpaksa berkhidmat dengan syarikat tersebut bermula tahun 2002 sehinggalah mereka "dicutikan" tanpa gaji, tanpa pampasan juga tanpa apa-apa jaminan daripada majikan mereka bermula 1 Ogos 2011. Kegetiran mereka ini bertambah dalam keadaan kita yang akan menyambut Syawal tidak lama lagi. Semoga mereka tabah menghadapi keadaan ini dan saya yakin bahawa ada ganjaran yang besar untuk mereka atas kesabaran mereka menghadapi ujian dalam bulan yang mulia ini.




Semoga Madrasah Ramadhan yang sedang kita lalui ini akan menjadikan kita graduan kelas pertama dan menjadi seorang muslim yang cemerlang di dunia dan gemilang di akhirat. Wallahualam.