Friday, March 23, 2012

Jangan Guna Telefon Bimbit Anda!




Wah, agak lain macam benar bunyi tajuk tulisan kali ini. Sudahlah lama tidak menulis tiba-tiba tajuknya agak keras. Mana mungkin dalam situasi zaman serba canggih dan canggung ini kita tidak dibenar menggunakan telefon bimbit! Tambahan pula pelbagai aplikasi yang boleh dimanfaatkan melalui sebuah telefon bimbit. Bukan sekadar menerima atau membuat panggilan, mesej ringkas juga boleh dihantar (sehingga menggunakan bahasa Melayu yang salah). Tetapi itu bukan persoalan utama yang ingin saya kemukakan. Ada satu perkara yang membuka mata dan minda saya sewaktu pulang bekerja petang tadi. Maklumlah, saya tidak memandu, jadi mata sempat melilau melihat persekitaran.

Sewaktu melewati Lebuhraya Cheras-Kajang saya terlihat maklumat yang dipaparkan di papan digital di lebuh raya tersebut, iaitu JANGAN GUNA TELEFON BIMBIT ANDA SEMASA MEMANDU. Saya hitamkan perkataan ANDA kerana perkataan itu menarik perhatian saya. Bagi mereka yang kreatif boleh menukar ayat tersebut dengan ayat ini: JANGAN GUNA TELEFON BIMBIT ANDA SEMASA MEMANDU, TETAPI BOLEH MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT PENUMPANG LAIN SEMASA MEMANDU! HA HA...Bagi saya ayat tersebut lebih elok dimurnikan menjadi begini: JANGAN GUNA TELEFON BIMBIT SEMASA MEMANDU DEMI KESELAMATAN ANDA.