Sunday, March 20, 2011

Hari Makan-makan...



















































Seronok ya...ummi buat kek sendiri...






Sempena hari ulang tahun yang ke-8 Waliyuddin...masak dari pagi hingga ke petang. Sesekali ummi mengasah bakat. Yang jadi dua kek tu sebab ayahnya tak suka kek moden...ayah kagum dengan ummi masak dua kek dalam sehari. Kek kampung lagi best kata ayahnya...







Menginjak Usia 8 Tahun

19 Mac 2011...Lapan tahun yang lalu aku selamat melahirkan Syed Muhammad Waliyuddin anakandaku yang kedua. Sisi kematangannya masih belum jelas. Namun aku nampak akan perubahannya sedikit demi sedikit. Dari anak yang agak lasak, kini dia sudah boleh mendengar kata dan ada tanggungjawab yang dijalankan sebagai seorang mukmin (insya'Allah kekal sehingga dewasa) Ya lah...kematangan tahap mana yang aku harapkan daripada seorang anak yang baru berumur 8 tahun. Orang tua ada berkata; anak yang kedua ini perangainya lain sikit. Mungkin ada kaitannya dari sudut pandangan ahli psikologi, iaitu Dr. Fadzilah Kamsah yang mengenalkan teori "sindrom anak kedua". Lasak, degil, baran, dan beberapa citra negatif lagi dilambakkan kepada anak yang kedua. Tapi bagiku, anugerah Allah itu tetap anugerah Allah. Walau apapun sikapnya aku redha dan berdoa semoga Allah membantu aku membesar dan mendidiknya. Dalam lasak dan ligatnya dia, aku dapat rasakan ciri kelembutan yang ada padanya. Hatinya mudah tersentuh tatkala melihat aku kurang sihat atau aku berada dalam kesedihan. Dia cepat merasakannya apabila aku berada dalam keadaan tersebut.

Rasa kasihannya kadang kala mengejutkan aku. Pernah sekali air matanya bergenang apabila ayahnya menyuruh dia membuang seekor kumbang yang asyik dibeleknya dan dibawa ke hulu ke hilir (ketika itu kami hendak membeli barang di JJ). Diletakkannya kumbang tersebut di tepi jalan, di tempat letak kereta JJ Cheras Selatan. Tempat tersebut ada sedikit lubang dan teduh. Kesian katanya...kumbang tu pun nak hidup jugak. Sesekali kakaknya ada mengusik untuk menggoreng ikan sepat belaan kami. Katanya, "dah tak ada ikan lain ke nak di makan?" Pernah sekali, dia menegur aku tatkala aku cuba menghalau "kucing sesat" di dalam rumah kami dengan penyapu. Ummi, sakit dia nanti...padahal aku baru mengacah...

Itulah dia...kadang-kadang menyirap darah apabila melihat perlakuannya. Kadang-kadang terhibur dengan gelagatnya. Walau apapun, aku sentiasa berdoa agar Allah menjadikannya anak yang soleh dan boleh mendoakan kami kelak...amin.

Sunday, February 13, 2011

Aku Rindu Kepadamu...


Alangkah indahnya hidup ini

andai dapat kutatap wajahmu

kan pasti mengalir air mataku

kerna pancaran ketenanganmu


Alangkah indahnya hidup ini

andai dapat kukucup tanganmu

moga mengalir keberkatan dalam diriku

untuk mengikut jejak langkahmu


Ya Rasulullah ya habiballah

tak pernah kutatap wajahmu

Ya Rasulullah ya habiballah

aku rindu padamu...

(petikan daripada lagu Ya Rasulullah nyanyian kumpulan Raihan)


Setiap kali mendengar lagu ini atau menghayati bait-bait dalam lirik ini pasti hati ini tersentuh dan berlinangan air mata. Ya Rasulullah, kami umat akhir zaman ini amat merinduimu...insan yang membawa rahmat ke sekelian alam. Baginda membawa dan menyebarkan nikmat iman dan Islam kepada kita dan menyayangi umatnya lebih daripada dirinya sendiri. Seorang insan yang dijadikan oleh Allah untuk kita jadikan panduan dalam kehidupan (saya tidak menggemari perkataan idola). Baginda ialah contoh tauladan yang sempurna. Segala-galanya lengkap, cara hidupnya, akhlaknya apatah lagi ibadahnya, segala-galanya tentang Baginda sudah cukup sempurna untuk kita teladani dan dijadikan mentor. Hanya sunnah Baginda sahaja yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin untuk menyambung talian syafaat daripada Baginda. Ya Rasulullah terimalah kami sebagai umatmu...Salam Maulidurrasul 1432H

Sunday, January 30, 2011

Hujan Oh! Hujan







Hujan membawa rahmat, hujan membawa nikmat, hujan membawa berkat...sebab itu doa ketika hujan turun Allah makbulkan. Hujan oh! hujan... Sudah hampir tiga hari bumi tempat tinggalku ditimpa hujan. Rupa-rupanya bukan di sini sahaja, selatan tanah air juga sudah ditenggelami air...teringat banjir besar pada tahun 2007 yang telah melumpuhkan hampir keseluruhan negeri Johor Darul Takzim. Biasanya jika sudah penghujung bulan Januari, musim tengkujuh akan bertukar giliran dengan musim panas, tetapi kini, seolah-olah tengkujuh tidak mahu pergi...hujan tidak berhenti-henti, sekejap renyai-renyai dan sekejap lebat. Ada rungutan pada si kecil yang tidak dapat bermain basikal hujung minggu lalu...nasihat si ayah, inilah yang dikatakan kehidupan, perlu redha dengan kehendak Allah Taala...syukur di tempat kita hujan air, jika anak-anak Palestine, saban hari melihat hujan peluru yang mungkin akan memusnahkan mereka dan keluarga mereka....oleh itu, jangan merungut...bersyukur dengan apa yang Allah telah kurniakan, insya'Allah akan ditambahkan lagi nikmat kepada kita...hujan oh! hujan, keladiku cukup subur...Alhamdulillah...

Thursday, January 27, 2011

Uniknya Ciptaan Allah!







Maha Suci Allah yang Maha Mencipta...dari makhluk yang bernama Adam sehinggalah sekecil-kecil benda walaupun sebesar zarah. Apa yang diciptakan-Nya tiada yang sia-sia, semuanya ada fungsi yang tersendiri. Hanya mereka yang menggunakan akal budi sahaja yang dapat memanfaatkannya. Sebagai hamba-Nya yang amat kerdil, aku amat mengagumi pokok keladi yang dicipta-Nya. Punya pelbagai rupa, bentuk dan warna dan daunnya bagai dioles dengan pelbagai warna. Pokok keladi bagiku ialah lambang kepada diri kita yang punya warna-warni dan corak dalam meneruskan kehidupan...