Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Monday, May 14, 2012

A hingga Z: Kuasa yang Boleh Menawan Dunia

A hingga Z boleh menawan dunia, A hingga Z boleh mencorakkan dunia, A hingga Z boleh menghiasi dunia, A hingga Z boleh memusnahkan dunia, A hingga Z boleh menjadi fitnah, A hingga Z boleh menjadi pujian, A hingga Z boleh menjadi segala-galanya.



Kuasa 26 huruf Rumi yang dicantum-cantum mampu menjadi satu perkataan, satu klausa, satu frasa, satu ayat, satu perenggan, satu teks, satu buku sehinggalah menjadi berpuluh-puluh buku, malah beratus-ratus buku, malah beribu-ribu buku.




Dengan susunan huruf inilah akan menghasilkan:



dan ini:


sehinggalah ini:




Oleh itu, bersyukurlah kerana Allah Taala telah menurunkan huruf sehingga manusia boleh menakluk angkasa, lautan, udara, matahari dan bulan.


Tulisan ini saya kreditkan kepada Puan Hajah Atiah Haji Salleh yang menjadi penceramah Kursus Penyegaran Bahasa untuk staf DBP pada 14-15 Mei 2012 yang membuka minda saya untuk mencoretkan sesuatu di blog ini.

Sumber gambar: Google Images

Friday, March 23, 2012

Jangan Guna Telefon Bimbit Anda!




Wah, agak lain macam benar bunyi tajuk tulisan kali ini. Sudahlah lama tidak menulis tiba-tiba tajuknya agak keras. Mana mungkin dalam situasi zaman serba canggih dan canggung ini kita tidak dibenar menggunakan telefon bimbit! Tambahan pula pelbagai aplikasi yang boleh dimanfaatkan melalui sebuah telefon bimbit. Bukan sekadar menerima atau membuat panggilan, mesej ringkas juga boleh dihantar (sehingga menggunakan bahasa Melayu yang salah). Tetapi itu bukan persoalan utama yang ingin saya kemukakan. Ada satu perkara yang membuka mata dan minda saya sewaktu pulang bekerja petang tadi. Maklumlah, saya tidak memandu, jadi mata sempat melilau melihat persekitaran.

Sewaktu melewati Lebuhraya Cheras-Kajang saya terlihat maklumat yang dipaparkan di papan digital di lebuh raya tersebut, iaitu JANGAN GUNA TELEFON BIMBIT ANDA SEMASA MEMANDU. Saya hitamkan perkataan ANDA kerana perkataan itu menarik perhatian saya. Bagi mereka yang kreatif boleh menukar ayat tersebut dengan ayat ini: JANGAN GUNA TELEFON BIMBIT ANDA SEMASA MEMANDU, TETAPI BOLEH MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT PENUMPANG LAIN SEMASA MEMANDU! HA HA...Bagi saya ayat tersebut lebih elok dimurnikan menjadi begini: JANGAN GUNA TELEFON BIMBIT SEMASA MEMANDU DEMI KESELAMATAN ANDA.


Wednesday, July 27, 2011

Jangan Banyak Songeh!...



Tulisan kali ini agak lain sedikit...ada bauran perasaan; geram, hairan, marah dan ada sedikit keliru. Menurut Kamus Dewan, songeh bererti "kehendak yang agak menyusahkan orang lain". Oleh itu, banyak songeh bermaksud "banyak kehendak atau ragam yang menyusahkan orang lain". Sebagai insan yang telah dikurniakan "aqal", kita wajib menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk kebaikan sehingga boleh memanfaatkan orang lain, bukan untuk MENYUSAHKAN orang lain. Ingatlah, jika kita memudahkan urusan orang lain untuk kebaikan, Insya-Allah dengan izin-Nya jua urusan kita dipermudahkan. Semoga tulisan ringkas saya pada kali ini akan memberi manfaat kepada anda yang membaca atas prinsip yang saya pegang selama ini, iaitu: Sampaikanlah walaupun hanya dengan sepotong ayat.



Dalam tulisan ini, saya letakkan gambar di atas bagi menyejukkan hati saya yang sedang berbaur dengan perasaan tersebut, walaupun gambaran yang sebenarnya ialah:





Semoga Allah permudahkan segala urusan kita untuk kebaikan...wallahualam...

Monday, March 21, 2011

Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku)







Gambar di atas ini ialah hasil tangan kakak (dan ayahnya). Gurunya menyuruh mereka membuat replika rumah daripada kotak. "Rumah impian" (saya yang memberi label tersebut) itu sebenarnya hanyalah tugasan untuk membina kreativiti anak-anak sahaja. Tidak lebih daripada itu. Namun, aku sebagai seorang dewasa memandang jauh makna tersirat daripada tugasan tersebut. Rumah menjadi lambang kepada seseorang. Sama ada kecil atau besar rumah ataupun bentuk rumah apa yang didiami menjadi lambang kepada individu sama ada berada atau tidaknya dia. Beruntungnya orang yang mempunyai tanah yang luas kerana dapat membina rumah mengikut citarasanya sendiri. Tapi jika tiada tanah dan mampu memiliki sebuah banglo juga beruntung kerana kediaman masih lagi luas. Manakala orang yang tinggal di kawasan perumahan teres pula mempunyai kawasan persekitaran yang terhad. Namun beruntung juga kerana kejiranan kawasan perumahan teres lebih akrab kerana susunan rumah yang rapat-rapat (tapi mungkin di kota sudah tiada lagi keakraban tersebut). Tinggal di kawasan perumahan teres juga masih selesa kerana ada ruang untuk meletak kereta dalam kawasan rumah serta bilangan bilik yang lebih, dan jika berlebihan wang boleh mengubahsuai rumah. Hal ini berbeza daripada mereka yang tinggal di rumah pangsa. Kita ketepikan persoalan bagi mereka yang kaya-raya dan mampu memiliki kondominium mewah.



Bagi mereka yang sudah biasa dengan situasi di rumah pangsa, keadaan itu juga amat selesa bagi mereka. Ruang yang kecil dan comel memudahkan mereka untuk mengemas dan mengatur perabot dan tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi. Bagi mereka itu sudah cukup bertuah. Bagaimanakah pula dengan keadaan mereka yang tidak mampu memiliki satu bentuk rumah sekalipun? Ataupun tiada tempat untuk tinggal langsung? Adakah mereka tidak bertuah atau tidak beruntung? Bahkan tidak bahagia langsung? Mungkin jawapan yang akan kita terima berbeza-beza. Jika mereka melihat bahawa rumahlah yang menjadikan mereka beruntung, bertuah atau bahagia maka mereka akan mengatakan ya. Namun jika mereka melihat bertuahnya mereka, beruntungnya mereka serta bahagianya mereka dari pelbagai sudut yang lain, bukan dari sudut berprestijnya tempat kediaman mereka, maka tinggal hanya dengan berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi sudah cukup bertuah dan bahagia bagi mereka kerana mereka masih mempunyai nyawa untuk meneruskan kehidupan.



Oleh sebab itu, di kawasan kota besar sekarang terutamanya di Kuala Lumpur ramai orang yang gelandangan. Siang bekerja, malam mencari-cari tempat untuk merehatkan badan. Bagi mereka bukan rumah yang penting tapi agenda untuk mencari sesuap nasi bagi meneruskan kehidupan lebih utama daripada memilih-milih tempat untuk tinggal. Sampai bilakah keadaan ini akan berterusan? Adakah masalah sosial dalam masyarakat akan lebih menanah jika keadaan ini tidak dikawal? Adakah penyelesaiannya pihak bertanggung jawab perlu menyediakan kawasan lapang yang luas untuk mereka berkumpul bagi menyelesaikan masalah? Kita perlu fikirkan...



Bagi seorang anak kecil seperti kakak yang masih belum mengenal erti kehidupan sudah tentulah rumah yang besar, luas dan cantik menjadi "rumah impian" mereka. Namun penerapan terhadap konsep baiti jannati dalam "rumah impian" lebih utama supaya mereka tahu bahawa dari rumahlah dapat mencorak peribadi mereka pada masa hadapan. Jika mereka tidak merasakan bahawa rumah itu syurga, maka mereka akan cuba mencari syurga lain untuk mendapatkan kedamaian, ketenangan dan keseronokan.



Wallahualam...semoga kakak menjadi anak yang solehah...









Sunday, January 30, 2011

Hujan Oh! Hujan







Hujan membawa rahmat, hujan membawa nikmat, hujan membawa berkat...sebab itu doa ketika hujan turun Allah makbulkan. Hujan oh! hujan... Sudah hampir tiga hari bumi tempat tinggalku ditimpa hujan. Rupa-rupanya bukan di sini sahaja, selatan tanah air juga sudah ditenggelami air...teringat banjir besar pada tahun 2007 yang telah melumpuhkan hampir keseluruhan negeri Johor Darul Takzim. Biasanya jika sudah penghujung bulan Januari, musim tengkujuh akan bertukar giliran dengan musim panas, tetapi kini, seolah-olah tengkujuh tidak mahu pergi...hujan tidak berhenti-henti, sekejap renyai-renyai dan sekejap lebat. Ada rungutan pada si kecil yang tidak dapat bermain basikal hujung minggu lalu...nasihat si ayah, inilah yang dikatakan kehidupan, perlu redha dengan kehendak Allah Taala...syukur di tempat kita hujan air, jika anak-anak Palestine, saban hari melihat hujan peluru yang mungkin akan memusnahkan mereka dan keluarga mereka....oleh itu, jangan merungut...bersyukur dengan apa yang Allah telah kurniakan, insya'Allah akan ditambahkan lagi nikmat kepada kita...hujan oh! hujan, keladiku cukup subur...Alhamdulillah...

Thursday, January 27, 2011

Uniknya Ciptaan Allah!







Maha Suci Allah yang Maha Mencipta...dari makhluk yang bernama Adam sehinggalah sekecil-kecil benda walaupun sebesar zarah. Apa yang diciptakan-Nya tiada yang sia-sia, semuanya ada fungsi yang tersendiri. Hanya mereka yang menggunakan akal budi sahaja yang dapat memanfaatkannya. Sebagai hamba-Nya yang amat kerdil, aku amat mengagumi pokok keladi yang dicipta-Nya. Punya pelbagai rupa, bentuk dan warna dan daunnya bagai dioles dengan pelbagai warna. Pokok keladi bagiku ialah lambang kepada diri kita yang punya warna-warni dan corak dalam meneruskan kehidupan...