Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Tuesday, August 2, 2011

Madrasah Ramadan






Sahur, bazar Ramadan, solat terawih, menu berbuka, malam lailatul qadar adalah antara topik yang menjadi perbualan setiap kali madrasah Ramadan tiba. Saya katakan madrasah Ramadan kerana bulan ini ialah bulan yang mendidik kita untuk menjadi insan yang lebih baik daripada yang sebelumnya. Adakah memadai sekiranya topik tersebut sahaja yang menjadi perbualan setiap kali tibanya Ramadan? Sedangkan bulan Ramadan begitu istimewa kerana dalam bulan Ramadanlah umat Islam diwajibkan berpuasa, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah Taala dalam surah Al-Baqarah, ayat 183: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." Dalam ayat ini Allah mewajibkan umat Islam berpuasa supaya kita menjadi manusia yang sentiasa taat dan beriman kepada Allah SWT. Keistimewaan Ramadan juga dikaitkan dengan Nuzul al-Quran, iaitu buat pertama kalinya ayat al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Pada bulan Ramadan juga terhimpunnya rahmah, keampunan serta keberkatan yang berlipat ganda daripada Allah SWT buat hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dalam melaksanakan ibadah.



Dalam usaha kita merebut seribu rahmat dalam bulan Ramadan ini kita perlu juga prihatin kepada rakan-rakan atau saudara seagama kita yang lain yang menyambut Ramadan bersama-sama ujian getir daripada Allah SWT. Hal ini saya kaitkan dengan rakan-rakan saya di Dawama Sdn. Bhd. yang telah diberi "cuti tanpa gaji" atau dengan perkataan lain, diberhentikan oleh pihak pengurusan mereka bermula 1 Ramadan yang lalu. Apa yang menyedihkan ialah ada antara mereka ini asalnya kakitangan kerajaan yang hayat perkhidmatan mereka terjamin, namun atas sebab penswastaan sebahagian daripada organisasi, mereka perlu akur dan terpaksa berkhidmat dengan syarikat tersebut bermula tahun 2002 sehinggalah mereka "dicutikan" tanpa gaji, tanpa pampasan juga tanpa apa-apa jaminan daripada majikan mereka bermula 1 Ogos 2011. Kegetiran mereka ini bertambah dalam keadaan kita yang akan menyambut Syawal tidak lama lagi. Semoga mereka tabah menghadapi keadaan ini dan saya yakin bahawa ada ganjaran yang besar untuk mereka atas kesabaran mereka menghadapi ujian dalam bulan yang mulia ini.




Semoga Madrasah Ramadhan yang sedang kita lalui ini akan menjadikan kita graduan kelas pertama dan menjadi seorang muslim yang cemerlang di dunia dan gemilang di akhirat. Wallahualam.

Tuesday, July 26, 2011

Tatkala Mentari Terbenam

























Tatkala Mentari Terbenam



Mentari itu

tatkala muncul

memberi pancaran

memberi sinar

membawa gembira

membawa bahagia


Mentari itu juga

tatkala benam dirinya

membawa kisah hari itu

bersama-samanya...


Mentari itu

tatkala benam dirinya

masih memberi cahaya

muncul dan hilangnya ia

jadi hiasan

jadi tontonan

jadi hiburan

jadi bualan



Mentari itu...

mencoret suka duka

melakar warna-warni

mengadun jerih perih

kehidupan

sehingga terbenamnya tidak lagi di Barat...












Sunday, February 13, 2011

Aku Rindu Kepadamu...


Alangkah indahnya hidup ini

andai dapat kutatap wajahmu

kan pasti mengalir air mataku

kerna pancaran ketenanganmu


Alangkah indahnya hidup ini

andai dapat kukucup tanganmu

moga mengalir keberkatan dalam diriku

untuk mengikut jejak langkahmu


Ya Rasulullah ya habiballah

tak pernah kutatap wajahmu

Ya Rasulullah ya habiballah

aku rindu padamu...

(petikan daripada lagu Ya Rasulullah nyanyian kumpulan Raihan)


Setiap kali mendengar lagu ini atau menghayati bait-bait dalam lirik ini pasti hati ini tersentuh dan berlinangan air mata. Ya Rasulullah, kami umat akhir zaman ini amat merinduimu...insan yang membawa rahmat ke sekelian alam. Baginda membawa dan menyebarkan nikmat iman dan Islam kepada kita dan menyayangi umatnya lebih daripada dirinya sendiri. Seorang insan yang dijadikan oleh Allah untuk kita jadikan panduan dalam kehidupan (saya tidak menggemari perkataan idola). Baginda ialah contoh tauladan yang sempurna. Segala-galanya lengkap, cara hidupnya, akhlaknya apatah lagi ibadahnya, segala-galanya tentang Baginda sudah cukup sempurna untuk kita teladani dan dijadikan mentor. Hanya sunnah Baginda sahaja yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin untuk menyambung talian syafaat daripada Baginda. Ya Rasulullah terimalah kami sebagai umatmu...Salam Maulidurrasul 1432H

Thursday, January 27, 2011

Uniknya Ciptaan Allah!







Maha Suci Allah yang Maha Mencipta...dari makhluk yang bernama Adam sehinggalah sekecil-kecil benda walaupun sebesar zarah. Apa yang diciptakan-Nya tiada yang sia-sia, semuanya ada fungsi yang tersendiri. Hanya mereka yang menggunakan akal budi sahaja yang dapat memanfaatkannya. Sebagai hamba-Nya yang amat kerdil, aku amat mengagumi pokok keladi yang dicipta-Nya. Punya pelbagai rupa, bentuk dan warna dan daunnya bagai dioles dengan pelbagai warna. Pokok keladi bagiku ialah lambang kepada diri kita yang punya warna-warni dan corak dalam meneruskan kehidupan...